Friday, September 17, 2010

Lagi Perkara 20

Dipetik daripada Laman Web SAPP

Kaji semula Perjanjian 20 Perkara

KUNDASANG 25 April 2010: Semua 20 Perkara yang termaktub dalam Perjanjian penubuhan Malaysia 1963 perlu dikaji semula kerana Kuala Lumpur telah engkar.
Bekas Menteri Kewangan Datuk Mohd Noor Mansoor berkata, Kuala Lumpur tidak patuh banyak perkara dan yang paling jelas di kaca mata rakyat ialah Borneosasi, Imigresen dan Otonomi.
"Tun Fuad Stephens adalah pemimpin pertama meminta Kuala Lumpur mengkaji semula Perjanjian 20 Perkara itu tetapi apa yang berlaku ialah beliau dihantar ke Australia menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia.
"Jawatan Ketua Menteri diberi kepada Datuk Peter Lo manakala Tun Datu Mustapha Datu Harun dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Khas Sabah," katanya.
Mohd Noor adalah bekas Menteri Kewangan Sabah pada zaman pemerintahan parti Berjaya dari 1976 hingga 1985, berucap pada ceramah umum bertajuk isu-isu semasa dan Pilihan Raya Umum ke-13 penentu masa depan Sabah, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pada majlis itu sebanyak enam cawangan baru SAPP dirasmikan iaitu Pekan Kundasang, Kampung Patau, Kampung Giring, Kampung Tanid, Kampung Sumbilingon dan Kampung Mokodou yang kesemuanya berada dalam kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Kundasang.
Cawangan Kampung Mokodou diketuai Melubin Sinduman manakala cawangan Kampung Giring diketuai Midi Huis. Kedua-dua mereka bekas pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS).
Cawangan Kampung Tanid diketuai Laipan Mosikol manakala cawangan Kampung Patau diketuai Lajumin Sagambat. Kedua-dua mereka bekas pemimpin UMNO.
Dua cawangan iaitu Kampung Sumbilingon diketuai Jamdin Jeperi dan Pekan Kundasang diketuai Japiril Suhaimin.

Kira-kira 200 ahli baru SAPP serta beberapa ahli UMNO dan memenuhi dewan hotel itu.
Hadir, antaranya, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri, Timbalan Presiden SAPP selaku Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun, Penasihat SAPP Datuk Paul Wong, Ahli Majlis Tertinggi SAPP Jaafar Ismail, Ahli Majlis Tertinggi SAPP Agnes Moifun dan Japiril.
Mohd Noor berkata, kajian semula itu bukan bermaksud hendak membawa Sabah keluar dari gagasan Malaysia.
Katanya, kajian semula itu bermaksud memperbetulkan ketidakseimbangan hubungan diantara Sabah dengan Kuala Lumpur sehingga menyebabkan Negeri ini walaupun kaya dengan sumber alam tetapi menjadi Negeri termiskin di Malaysia.
"Borneosasi bermaksud peluang kerja dalam jabatan dan agensi Persekutuan di Negeri ini harus diberi kepada orang tempatan tetapi malangnya apa yang kita lihat pada hari ini ialah rakyat Malaysia dari luar Sabah menguasai jawatan-jawatan itu.
"Kuasa Imigresen pula di kawal Kuala Lumpur kerana Pengarah Jabatan Imigresen adalah orang luar yang mereka lantik.
"Otonomi rakyat dan Kerajaan Negeri Sabah sudah hilang kerana jawatan Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet Sabah dilantik berdasarkan restu dari Kuala Lumpur," katanya.
Mohd Noor seterusnya berkata, ada jawatan pengarah di sesetangah Jabatan Persekutuan di Sabah disandang orang tempatan seperti Jabatan Pelajaran tetapi kuasa masih berada dalam tangan Kuala Lumpur.
Beliau berkata, sebagai contoh ialah apabila seorang pelajar dari daerah ini yang perlu mendapat pertimbangan dari Kuala Lumpur untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) walaupun mendapat 8A dalam peperiksaan UPSR.

Katanya, kuasa Imigresen terhakis apabila terdapat kes dimana seseorang itu dikehendaki pergi ke Putra Jaya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk urusan berkaitan permohonan kad pengenalan MyKad.
Menurut beliau, Sabah boleh membangun semula dan seterusnya menjadi negeri paling makmur di negara ini jika Perjanjian 20 Perkara itu dikaji semula sekaligus segala ketidakseimbangan diperbetulkan.
Katanya, rakyat Sabah selama ini bersikap lebih keMalaysiaan berbanding dengan Kuala Lumpur kerana sudah lama mengamalkan hidup bersatu padu tanpa mengira bangsa atau agama.
Mohd Noor berkata, contoh terbaik ialah perkahwinan campur dikalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini yang menjadi resipi utama keharmonian itu.
Katanya, konsep 1Malaysia, Rakyat diDahulukan Pencapaian diUtamakan hanya retorik Kuala Lumpur untuk mengalih pandangan rakyat di Semenanjung daripada kemelut politik yang melanda mereka. 

Lihat artikel di http://www.sapp.org.my/bm/100425_bm_noor_20perkara.asp

No comments:

Post a Comment